Loading...
Tajuk : Renungan Jumaat : Muhasabah Akhir Tahun
link : Renungan Jumaat : Muhasabah Akhir Tahun
Renungan Jumaat : Muhasabah Akhir Tahun
Assalamu'alaikum & Salam Sejahtera...
Marilah kita sejenak merenung diri atau muhasabah dengan menghitung segala perilaku kita sepanjang tahun ini.
Apakah perbuatan yang kita lakukan itu merupakan amalan baik atau buruk?
Kadangkala sebahagian manusia sentiasa mengeluh kerana sibuk dengan kerjaya dan masalah dunia sehingga tidak dapat merasai manisnya ibadah, tidak khusyuk dalam solat, hati sentiasa keras dan malas melakukan ibadah dan kebajikan. Penyakit seperti ini tidak harus dibiarkan dan perlu diubati segera dan salah satu caranya adalah dengan bermuhasabah.
Setiap daripada kita perlukan perenungan terhadap diri sendiri; pada setiap jam, setiap hari, setiap bulan dan setiap tahun, dalam kerangka ‘sumpah dan ikrar’ kita terhadap Allah SWT
Kita bertanya kepada diri kita sendiri: apakah kita lalui jalan yang benar, yang menuju keredaan-Nya dengan amalan yang kita galas sepanjang tahun itu.
Apakah kita telah menunaikan hak-hak Allah dan hak-hak hamba Allah yang diamanahkan kepada kita sebagaimana kita merasa tamak untuk mendapatkan hak-hak sendiri, kemudian membandingkan antara kebaikan-kebaikan dan kejahatan-kejahatan dan menilai diri sendiri, kemudian bertaubat, beristighfar, berusaha untuk mengganti apa yang telah berlalu dengan kebaikan-kebaikan.
Muhasabah diri dapat dilakukan dengan mencipta soalan-soalan atau daftar pertanyaan yang ditujukan kepada diri sendiri dan menjawab sendiri, sebagaimana disebutkan menerusi
Firman Allah SWT dalam surah al-Qiyamah ayat 14 yang bermaksud:
“Bahkan manusia itu menjadi saksi atas dirinya.”
Muhasabah diri dilakukan di dunia ini sebelum menghadap Allah SWT pada perhitungan akhirat. Firman Allah SWT dalam surah al-Haaqah ayat 18 yang bermaksud:
“Pada hari itu kamu dihadapkan (kepada Tuhanmu), tiada sesuatu pun dari keadaanmu yang tersembunyi (bagi Allah SWT).”
Daripada jawapan-jawapan dan pertanyaan-pertanyaan di atas seseorang dapat mengetahui:
• besarnya manfaat/hasil dalam melaksanakan ketaatan untuk mencapai keredaan Allah SWT, Kita akan memperbanyakkan amal itu dan akan bersyukur kepada Allah SWT yang telah menolong diri kita untuk melakukan hal tersebut.
• besarnya kekurangan di sisi Allah SWT, kemudian menegur diri sendiri, beristighfar dan bertaubat serta berjanji kepada Allah SWT untuk tidak akan melakukan dosa-dosa lagi.
Ingatlah bahawa setiap manusia betapa pun panjang usianya, pasti akan berdiri di hadapan Allah SWT yang akan menghitung segala yang mulia mahupun yang hina, yang kecil atau yang besar, sebagaimana yang di Firmankan Allah SWT di dalam surah al-Kahfi ayat 49 yang bermaksud:
“Dan diletakkan kitab, lalu kamu akan melihat orang-orang yang bersalah ketakutan terhadap apa yang (tertulis) di dalamnya, dan mereka berkata, “Aduhai celaka kami, kitab apakah ini yang tidak meninggalkan yang kecil dan tidak (pula) yang besar, melainkan ia mencatat semuanya;” dan mereka dapati apa yang telah mereka kerjakan ada (tertulis).”
Allah SWT mengingatkan hamba-hamba-Nya agar merasa takut dan bertaubat kepada-Nya, merasa malu kepada-Nya dalam semua amalnya, tingkah lakunya dan sikap diamnya, agar mereka melakukan perhitungan terhadap diri mereka sendiri dan melihat amal-amal mereka yang mereka simpan untuk diri mereka sendiri, agar menghitung diri mereka sendiri sebelum dihadapkan pada hari perhitungan yang tidak ada lagi yang tersembunyi daripada mereka. Mereka juga harus merasakan pada setiap waktu bahawa Allah Maha Mengetahui akan semua amal mereka, keadaan mereka, tingkah laku mereka dan bisikan-bisikan mereka, dan bahawa tidak ada sesuatu pun daripada urusan mereka yang tidak diketahui-Nya.
Di dalam al-Quran, banyak disebutkan tentang muhasabah di hadapan Allah SWT agar setiap manusia mempersiapkan jawapannya, selalu bertanya kepada diri sendiri selama hidup di dunia ini sebelum ditanya di akhirat nanti.
Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Maka sesungguhnya Kami akan menanyakan umat-umat yang telah diutus rasul-rasul kepada mereka dan sesungguhnya Kami akan menanyakan (pula) rasul-rasul (Kami).” (Al-A’raf: 6)
Kata ‘menanyakan’ dalam ayat di atas adalah meminta pertanggungjawaban di hadapan Allah SWT pada hari Kiamat, baik untuk para rasul mahupun orang-orang yang beriman, orang-orang yang jujur dan orang-orang kafir. Semua akan dihisab di hadapan Allah SWT dan cukuplah Allah SWT sahaja yang menjadi Penghitung.
Muhasabah nafsu dilakukan oleh seseorang dengan bertanya kepada dirinya sendiri sebelum melakukan sesuatu perbuatan, apakah perbuatan itu sesuai dengan apa yang diperintahkan oleh Allah SWT dan sesuai dengan petunjuk Rasulullah SAW yang mulia. Kemudian sekali lagi kita bertanya kepada diri kita sendiri setelah melakukan perbuatan itu untuk meyakinkan sekali lagi bahawa kita tidak tersesat jalan, tidak menyimpang dari jalan yang lurus. Pertanyaan ini dilakukan pada setiap waktu. Kemudian melakukan penilaian ketika keadaan sudah tenang, misalnya ketika masuk tidur atau ketika bersendiri.
Muhasabah diri dilakukan terhadap semua perbuatan, tingkah laku dan tindakan kita, baik yang berhubungan dengan ibadah atau muamalah. Contohnya, adalah menjadi kewajipan bagi seseorang untuk selalu bertanya kepada dirinya sendiri dengan beberapa pertanyaan, kemudian mengingat dasar-dasar pengajaran daripada al-Quran dan Sunnah.
Rasulullah SAW telah mendidik umat Islam generasi pertama kepada muhasabah diri. Rasulullah SAW selalu mengingatkan tentang beratnya hisab di akhirat. Mereka mengetahui bahawa Allah SWT amat memerhatikan mereka, bahawa mereka akan dihisab pada hari kiamat, dan tidak ada yang dapat menyelamatkan diri mereka daripada dihitung itu kecuali muhasabah diri dan kejujuran ketika melakukan muraqabah (pengawasan).
Barangsiapa yang menghitung nafsu mereka sendiri sebelum dihitung, maka hisabnya pada hari kiamat akan ringan, tempat kembali dan tempat tujuannya akan menjadi baik. Barangsiapa yang tidak menghitung dirinya sendiri, maka mereka akan alami kesedihannya yang berpanjangan dan penantiannya pada hari kiamat sangat lama.
Diriwayatkan daripada Ubadah bin ash-Shamit, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda kepada seorang lelaki ketika meminta kepada baginda agar diberikan nasihat. Rasulullah SAW memberikan nasihat dan bersabda yang bermaksud: “Jika engkau menghendaki sesuatu urusan, maka renung-renungkanlah akibatnya. Apabila baik, maka lakukanlah dan apabila sesat, maka cegahlah.”
Demikian pula ia mesti memikirkan tujuan ia diciptakan dan bagaimana Allah SWT mengujinya. Ia mesti menyedari bahawa Allah SWT bersamanya dan sentiasa melihat dan mendengarnya. Ia harus sentiasa mengingati bahawa apa yang dilakukannya, entah itu dianggap penting atau remeh temeh, diketahui oleh Allah SWT dan bahawa kelak ia akan diminta pertanggungjawaban atas apa-apa yang dikerjakannya pada Hari Pengadilan nanti.
Kita seharusnya merenungkan betapa indahnya syurga dan kesenangan luar biasa daripada berbagai-bagai kenikmatan yang ada di sana, dan berupaya untuk memahami konsep keabadian. Kita juga harus menyedari bahawa neraka adalah sebuah tempat yang diciptakan untuk memberikan kesengsaraan kepada tubuh dan jiwa manusia, tidak ada hal yang baik, menggembirakan dan menyenangkan di sana dan para penghuninya akan tinggal di sana untuk selama-lamanya. Kita harus menyedari bahawa kita akan dirundung penyesalan yang mendalam setiap saat dalam kehidupan abadi kita nanti apabila kita tidak mengindahkan peringatan ini dengan serius.
Dengan begitu, kita akan membuat keputusan yang tepat dan mencurahkan segenap kehidupan kita, yang tidak lebih daripada beberapa dekad, untuk mencapai keredaan Allah SWT, kasih sayang dan rahmat-Nya dan akan berusaha sedaya upaya untuk memperoleh syurga yang dijanjikan Allah SWT.
Setiap kali manusia semakin dekat kepada Allah SWT, maka Allah SWT akan menjaga, melindungi dan menolongnya sebagaimana ditegaskan dalam Firman-Nya yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah SWT membela orang-orang yang beriman.” (Al-Hajj: 38)
Disebutkan di dalam hadis qudsi:
“Hamba-Ku tidak mendekatkan diri kepada-Ku dengan sesuatu yang paling Aku cintai daripada melaksanakan apa yang Aku fardukan kepadanya. Dan hamba-Ku senantiasa mendekatkan diri kepada-Ku dengan amal-amal sunnah sehingga Aku mencintainya. Jika Aku telah mencintainya, maka Aku menjadi telinganya yang digunakan untuk mendengar, menjadi matanya yang digunakan untuk melihat, menjadi tangannya yang digunakan untuk bekerja, menjadi kakinya yang digunakan untuk berjalan. Kalau dia meminta kepada-Ku, pasti akan Aku beri, kalau dia meminta perlindungan kepada-Ku, pasti akan Aku lindungi.”
Marilah kita sama-sama merenung mengenai amalan-amalan ibadah yang telah kita kumpul di dunia ini adakah sudah mencukupi untuk dibawa kehadapan Allah SWT. Adakah amalan kita selama ini boleh melepaskan diri kita dari disiksa di dalam kubur, di padang mahsyar kelak. Adakah pahala amal-amal kita selama ini boleh digunakan untuk membeli syurga Allah SWT atau kita diberi neraka kerana dosa kita lebih banyak daripada pahala kita.
Bolehkah kita menjawab di hadapan Allah SWT apabila ditanya :-
Cukupkah sembahyang kamu sebagaimana yang telah disuruh/diperintahkan??
cukupkah puasa kamu bermula ketika baligh hingga kamu mati??
Berapa banyak yang kamu sedekah didalam tabung masjid pada setiap minggu?
Bakhilkah kamu walaupun harga getah dah semakin mahal?
Berapa kali kamu lalu dihadapan masjid pada setiap hari dan berapa kali kamu berhenti untuk solat jamaah dimasjid ini?
Adakah kamu hadir kuliah2, majlis2 ilmu, ceramah yang dianjurkan dimasjid?
Adakah kamu hanya datang masjid disebabkan kamu nak kahwin, anak kamu nak kahwin, kerana nak buat kenduri arwah/kenduri kahwin atau kamu datang ke masjid sebab kamu dah dekat nak mati??
Fikir-fikirkanlah..
Thus Article Renungan Jumaat : Muhasabah Akhir Tahun
Itulah artikel Renungan Jumaat : Muhasabah Akhir Tahun Kali ini, mudah-mudahan dapat memberikan manfaat kepada anda semua. dengan baik, melihat anda dalam menghantar barang-barang lain.
Anda sedang baca artikel Renungan Jumaat : Muhasabah Akhir Tahun dengan alamat pautan https://johorbaharunews.blogspot.com/2017/12/renungan-jumaat-muhasabah-akhir-tahun.html
0 Response to "Renungan Jumaat : Muhasabah Akhir Tahun"
Catat Ulasan